Thursday

Ada Apa Dengan Terowong Ini? Penunggang Motosikal Terpaksa Membongkokkan Badan

Umum mengetahui bahawa terowong merupakan jalan bawah tanah yang dikorek dan dijadikan laluan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan bandar. Di samping itu, terowong juga dibina bagi laluan yang perlu menembusi kawasan bukit atau pergunungan.


Setiap terowong dibina semestinya ada fungsi dan sebab-sebabnya tersendiri. Pelik dan unik, tahukah anda akan kisah terowong di Jawa Tengah, Indonesia yang dibina sempit serta terlalu rendah namun masih menjadi dijadikan laluan utama bagi penduduk setempat?

Sakit pinggang dibuatnya kerana terowong ini dibina setinggi 1 meter dan pengguna perlu membongkokkan badan semasa menggunakannya. Untuk pengetahuan anda, terowong ini sudah lama dibina di bawah laluan landasan kereta api semasa zaman penjajahan Belanda dahulu. Unik, bukan?

Meskipun sempit dan rendah, difahamkan terowong ini dijadikan laluan utama bagi memudahkan penduduk setempat untuk keluar ke pekan Kecamatan Ketanggungan. Sebenarnya ada laluan selamat cuma ia melambatkan masa mereka untuk sampai ke pekan.


“Daripada ikut laluan jauh, lebih baik lalu ikut terowong ini sahaja,” kata Varida semasa ditemu ramah wartawan Kompas.

Khabarnya, laluan terowong ini hanya khas untuk kegunaan pengguna motosikal dan pejalan kaki sahaja. Bukan sahaja perlu membongkokkan badan, pengguna terutamanya yang menaiki motosikal perlu turun dan heret motosikal sehingga ke penghujung terowong.

“Disebabkan terowong ini menjadi laluan utama penduduk, saya bersama pegawai polis yang lain turut sama membantu dalam mengawasi keadaan lalu lintas dan membantu mereka terutamanya para ibu-ibu yang menggunakan terowong ini seikhlas hati,” ujar Ketua Polis Ketanggungan AKP Suroto kepada wartawan Kompas.

Tidak kira seluas mana jalan raya yang terbina di dunia ini, namun laluan sempit sebegini akan tetap menjadi pujaan hati dalam kalangan penduduk di Jawa Tengah. Seandainya terowong seperti ini wujud di Malaysia, adakah anda sudi menggunakannya?

Sumber: The Vocket