Saturday

Apa Dah Jadi? UAE Benarkan Pasangan Yang Tidak Berkahwin Tinggal Bersama

Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang terkenal dengan undang-undang Islam yang ketat kini membenarkan pengambilan arak, manakala pasangan yang belum berkahwin dibenarkan untuk tinggal bersama.


Dalam satu rombakan besar sistem perundangan UAE ini, akhbar The National menyatakan bahawa ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menarik pelancong dan ahli perniagaan bertandang ke negara terbabit.

Daily Mirror pula melaporkan bahawa langkah ini diambil setelah UAE menjalinkan hubungan dengan Israel. Ia dilihat sebagai langkah untuk membawa masuk pelancong dan pelaburan dari Israel.

Undang-undang tersebut akan “meningkatkan kedudukan ekonomi dan sosial negara dan menggabungkan prinsip toleransi UAE”, lapor agensi berita WAM.

The Sun melaporkan ratusan orang yang tinggal di sana telah menjadi sasaran kerana melanggar undang-undang dengan mengambil alkohol dan dadah, atau bercumbu di depan khalayak ramai.

Kini, dalam satu langkah yang dianggap bersejarah oleh media antarabangsa, pengambilan alkohol bukan lagi merupakan kesalahan jenayah di UAE.

Ini bermaksud sesiapa yang minum atau memiliki alkohol atau menjual minuman beralkohol di kawasan yang dibenarkan tanpa lesen alkohol tidak akan menghadapi pendakwaan.

Sebelum ini, pengambilan alkohol hanya dibenarkan untuk orang asing yang mempunyai lesen khas, tetapi melalui undang-undang baru ini, ia bermaksud warganegara UAE juga boleh membeli dan meminum alkohol.

Ia masih boleh diminum secara persendirian atau di tempat awam, dan mereka yang mengambilnya mestilah berumur 21 tahun ke atas.

Dalam perubahan lain, sebelum ini warganegara atau orang asing yang belum berkahwin didapati bersalah jika tinggal bersama. Tetapi kini, penduduk tempatan dan warga asing yang belum berkahwin dibenarkan tinggal bersama.

Selain itu, bagi bunuh diri atau percubaan bunuh diri tidak akan dianggap sebagai satu jenayah. Manakala undang-undang penceraian dan warisan telah dirombak sepenuhnya.

“Saya senang dengan undang-undang baru ini yang progresif dan proaktif,” kata pembuat filem Emirati, Abdallah Al Kaabi kepada Associated Press. “2020 telah menjadi tahun yang sukar dan transformatif untuk UAE.”

Sumber: The Vocket

Apa Jadi Pada Wanita-Wanita Ini? Dipukul Kerana Panggil Wanita Lain 'Makcik'

Istilah ‘mak cik’ atau ‘pak cik’ sering digunakan oleh kebanyakan orang di Asia. Ia melambangkan tanda hormat kepada mereka yang lebih tua daripada kita.


Tonton Video

Di barat, budaya ini sedikit berbeza apabila sesetengah daripada mereka di sana lebih selesa memanggil orang, tidak kira tua atau pun muda, dengan panggilan nama pertama.

Bagaimanapun, walaupun budaya ini sudah sebati di Asia, bagi sesetengah orang, ia dianggap sesuatu yang kurang ajar jika seseorang itu belum berkahwin atau mahu merasa dirinya muda.

Itulah yang terjadi di Etah, India apabila seorang remaja berusia 19 tahun dipukul oleh seorang wanita berusia 40 tahun setelah memanggil wanita itu dengan panggilan ‘mak cik’.

Menurut Times of India, remaja itu dengan sopan menyapa, “Maaf, mak cik,” di pasar yang penuh sesak, dengan harapan wanita yang disapa itu akan memberinya ruang untuk berjalan.

Namun, lain pula yang dia dapat. Wanita berusia 40 tahun itu mengecam dan menampar remaja terbabit sehingga tercetusnya pertengkaran yang menarik puluhan orang menjadi penonton.

Sementara itu, seseorang penonton telah bertindak merakam kejadian terbabit yang kemudiannya viral di media sosial.

Pegawai rumah stesen Kanchan Katiyar berkata kepada Times Of India bahawa remaja dan wanita berusia 40 tahun itu telah dibawa ke balai polis dan tidak lama selepas itu dibebaskan.

Sumber: The Vocket

Apa Ada Pada Wanita Ini? Sakit Barah Tahap Tiga Tapi Telah Selamatkan Lebih 200 Kucing

Simpati melihat kucing jalanan kurang bernasib baik dan teraniaya mendorong penghidap barah payudara tahap tiga, Siti Nur Hidayah Abdullah menjadi penyelamat haiwan itu sejak 2013.


Dalam tempoh tujuh tahun, lebih 200 kucing diselamatkan Siti Nur Hidayah, 38, dan kebanyakannya ditemui dalam keadaan hampir tiada peluang untuk hidup.

Bercerita lanjut, Siti Nur Hidayah berkata, dia bukanlah individu yang menggemari kucing tetapi terbuka hati untuk memelihara selepas terjumpa haiwan berkenaan berteduh daripada hujan bersama dua anak yang masih kecil di depan rumahnya.

"Simpati melihat keadaannya, saya bawa masuk kucing berkenaan dan dua anaknya ke bilik sewa ketika itu dengan izin pemilik rumah dan terus memeliharanya.

"Bertitik tolak daripada situ, saya terus aktif menjadi penyelamat haiwan itu dan buat masa ini memelihara 40 ekor kucing di rumah.

"Ikutkan banyak yang saya ambil dan bawa pulang ke rumah tetapi sebahagiannya sudah diserahkan kepada individu yang berminat untuk menjaganya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi kisah seekor daripada kucing peliharaannya, Oyen yang mencuri perhatian warganet baru-baru ini, Siti Nur Hidayah berkata, haiwan itu ditemui pada Januari lalu di sebuah kedai makan, berhampiran rumahnya.


Katanya, Oyen ditemui di bawah sinki dalam keadaan lumpuh dipercayai akibat dipukul.

"Pada hari berkenaan, saya terdengar suara kucing mengiau dengan kuat dan cuba mencari daripada mana datangnya bunyi itu sebelum menemui Oyen.

"Oyen tidak dapat bergerak ketika itu dan alat sulitnya juga dalam keadaan berulat.

"Melihat keadaannya, saya jadi simpati dan terus membawa pulang ke rumah bagi memberinya minum air sebelum menghantarnya ke klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Meskipun peluang untuk Oyen hidup tipis ketika itu, Siti Nur Hidayah tidak berputus asa sebaliknya tekad memelihara haiwan berkenaan.

"Ketika itu, doktor beritahu saya Oyen mengalami luka dalaman dan kakinya tidak boleh dibedah kerana sarafnya sudah mati.

"Jadi, saya diberi dua pilihan sama ada untuk memelihara Oyen atau ia dimatikan dengan suntikan kerana menurut doktor, tempoh hayatnya (Oyen), kemungkinan tidak lama memandangkan air kencingnya juga berdarah.

"Namun, saya lihat Oyen ada peluang untuk hidup dan ambil keputusan membawanya pulang serta memeliharanya.

"Alhamdulillah, Oyen kini sihat dan sudah boleh mengengsot dengan tangan untuk bergerak, makan serta minum seperti biasa," katanya.

Menurut Siti Nur Hidayah, dia juga ada menjaga beberapa kucing lain yang buta dan mengalami gangguan saraf, Parkinson.

"Namun, hanya Oyen yang dipakaikan lampin pakai buang dan bedak talkum.

"Ia sebenarnya dilakukan kerana saya tidak mahu kulitnya melecet selain mengurangkan bau badannya dan hasilnya, keadaan Oyen semakin baik. Tak sangka pula kisah itu jadi tular," katanya.

Sekalipun menghidap barah payudara, Siti Nur Hidayah berkata, dia tidak akan sesekali menjadikan penyakitnya itu sebagai alasan untuk mengabaikan Oyen dan kucing peliharaannya yang lain.

Malah, Siti Nur Hidayah bersyukur kerana suaminya, Muhamad Bashir Ali, 27, memahami dan membantu menjaga kesemua kucing peliharaannya itu ketika dimasukkan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama seminggu tahun lalu untuk menjalani rawatan kemoterapi .

"Suami faham dengan hobi saya ini kerana sudah memelihara kucing sebelum berumah tangga lagi.

"Malah, dia (suami) yang banyak membantu menguruskan keperluan kucing peliharaan.

"Sementara belum dikurniakan cahaya mata, kucing peliharaan ini yang menjadi penyeri hidup kami di rumah.

"Saya tidak akan sesekali membuang kucing itu disebabkan penyakit dihidapi kerana sudah memelihara sebelum disahkan menghidap barah payudara lagi," katanya yang sudah menjalani enam sesi rawatan kemoterapi dan 15 radioterapi.

Sumber: Harian Metro

Apa Dah Jadi? Penampilan Segak Shaheizy Sam Dalam ABPBH Telah Dikecam Netizen

Semalam berlangsungnya acara gilang-gemilang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-33 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang.

Akan tetapi, ada berita yang kurang senang ketika siaran langsung anugerah tersebut. Lengkap berpakaian baju melayu dan songkok, Shaheizy Sam kelihatan segak untuk menyampaikan anugerah tetapi malangnya menggantung vape dileher.


Lantaran itu, rata-rata netizen mengecam Shaheizy Sam atas tindakannya yang secara tidak langsung mempromosikan dan bawa budaya buruk untuk tontonan umum. Tidak hanya itu, para netizen juga mempersoalkan krew produksi kerana tidak menyaring penampilan Shaheizy Sam sebelum mula bersiaran langsung.


Menerusi satu laporan, Shaheizy Sam menjelaskan bahawa dirinya terlupa untuk menanggalkan vape tersebut disebabkan keadaan kelam kabut sebelum naik ke atas pentas. Malah, beliau juga sering bawa vape dalam jumlah yang banyak ke hulu ke hilir kerana sering cepat habis. Apakah pendapat anda akan hal ini?

Sumber: The Vocket dan Berita Harian

Kenapa Macam Ini? Lelaki Ini Tunjukkan Bagaimana Stesen MRT Sukar Untuk Diakses Melalui Pejalan Kaki Dan Jarak Antara Satu Stesen Tidak Mesra Pejalan Kaki

Menggunakan pengangkutan awam terutamanya di bandar-bandar besar sememangnya digalakkan dan memang terdapat sebahagian besar pengguna yang menjadikannya sebagai mod pengangkutan utama mereka.


Bagaimanapun, bila berbicara mengenai pengangkutan awam terutamanya kereta api, antara perkara yang sering menimbulkan rasa hairan dalam kalangan pengguna adalah pembinaan stesen yang dikatakan tidak mesra pengguna terutamanya pejalan kaki.

Luahan mengenai perkara itu baru-baru ini dikongsikan pengguna Twitter dengan mengatakan ianya ‘sedikit sukar untuk diakses’ yang kemudiannya dipersetujui sebahagian besar netizen.

“Saya akan cuba untuk menaiki kereta api bila saya bergerak ke mana-mana dan saya berpendapat secara umumnya ia sedikit sukar untuk diakses.

“(Stesen) ini biasanya dibina di tepi-tepi jalan besar atau lebuh raya. Pejalan kaki akan mengalami sedikit kesukaran untuk sampai ke sana,” ciapnya di Twitter.

Tidak sahaja meluahkan kekecewannya, namun Nabil dalam untaian (thread) berkenaan turut melakukan demonstrasi untuk membuktikan mengenai perkara itu.

Untuk menunjukkan demonstrasi berkenaan, beliau  menggunakan peta isochrone yang dibekalkan Openrouteservice Maps untuk menunjukkan masa yang diambil pejalan kaki untuk tiba ke sesuatu tempat.

Meletakkan stesen MRT Sungai Buloh sebagai titik dan lokasi pilihan, beliau kemudiannya menunjukkan kawasan yang boleh diakses pejalan kaki daripada stesen berkenaan.

“Ini adalah stesen MRT Sungai Buloh. Peta isochrone menunjukkan berapa jauh anda boleh pergi dari satu titik dalam masa yang diberikan.


“Kawasan hijau mengambil masa 5 minit untuk berjalan, kuning 10 minit dan merah 15 minit,” jelasnya.

Gambaran yang ditunjukkan peta berkenaan menurutnya adalah kurang memberangsangkan dengan jarak berjalan kaki selama 5 minit hanya merangkumi 0.005 kilometer persegi manakala 15 minit perjalanan pula hanya merangkumi 0.86 kilometer persegi.

“Jika anda tinggal di luar kawasan (hijau,kuning dan merah) seperti dalam kawasan biru di peta di bawah, anda perlu berjalan melebihi 15 minit,” jelasnya.

Secara mudahnya, jika anda tinggal atau datang dari kawasan yang tidak berada di dalam jarak berjalan kaki hijau, kuning dan merah seperti yang ditunjukkan anda akan mengambil masa yang lebih sama untuk sampai.

Menyedari mungkin ada yang akan mengatakan pengguna perkhidmatan kereta api di stesen MRT Sungai Buloh akan memandu ke sana, Nabil kemudiannya membuat satu lagi perkiraan melibatkan kesemua stesen kereta api di Lembah Klang.

Hasil daripada perkiraannya itu, Nabil menjelaskan secara purata hanya monorel sahaja yang meliputi 3 kilometer persegi dan boleh dilalui pejalan kaki dalam masa 15 minit.

Jadi apa masalahnya?

Menurut Nabil, jika dibandingkan dengan dua bandar lain iaitu Singapura dan Montreal ia ‘dengan jelas menunjukkan kita jauh ketinggalan di belakang’.

“Kita perlu berhenti membina stesen kereta api di tengah-tengah kawasan yang entah di mana-mana dan di sebelah lebuh raya.

“Lagi bagus, kita tutup lebuh raya-lebuh raya ini yang menyebabkan lagi banyak keburukan daripada kebaikan.

“Dengan cara ini, kita mungkin boleh melihat kembali betapa teruknya bandar-bandar kita dirancang dalam memastikan ruang-ruang ini untuk kegunaan orang ramai dan bukannya kereta,” luahnya.

Perkongsian Nabil di Twitter itu yang pertama kali dimuat naik pada 8 November telah mencuri tumpuan dengan rata-rata bersetuju tentang apa yang dijelaskannya.

Sehingga artikel ini ditulis, ia telah pun meraih lebih 12,000 retweet (perkongsian) dan lebih 13,000 likes (tanda suka) di Twitter.

Anda boleh membaca perkongsian penuh daripada beliau dan melihat sendiri demonstrasi yang dilakukannya di Twitter melalui pautan di bawah.

Sumber: The Vocket dan Twitter