Saturday

Apa Ada Pada Wanita Ini? Sakit Barah Tahap Tiga Tapi Telah Selamatkan Lebih 200 Kucing

Simpati melihat kucing jalanan kurang bernasib baik dan teraniaya mendorong penghidap barah payudara tahap tiga, Siti Nur Hidayah Abdullah menjadi penyelamat haiwan itu sejak 2013.


Dalam tempoh tujuh tahun, lebih 200 kucing diselamatkan Siti Nur Hidayah, 38, dan kebanyakannya ditemui dalam keadaan hampir tiada peluang untuk hidup.

Bercerita lanjut, Siti Nur Hidayah berkata, dia bukanlah individu yang menggemari kucing tetapi terbuka hati untuk memelihara selepas terjumpa haiwan berkenaan berteduh daripada hujan bersama dua anak yang masih kecil di depan rumahnya.

"Simpati melihat keadaannya, saya bawa masuk kucing berkenaan dan dua anaknya ke bilik sewa ketika itu dengan izin pemilik rumah dan terus memeliharanya.

"Bertitik tolak daripada situ, saya terus aktif menjadi penyelamat haiwan itu dan buat masa ini memelihara 40 ekor kucing di rumah.

"Ikutkan banyak yang saya ambil dan bawa pulang ke rumah tetapi sebahagiannya sudah diserahkan kepada individu yang berminat untuk menjaganya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi kisah seekor daripada kucing peliharaannya, Oyen yang mencuri perhatian warganet baru-baru ini, Siti Nur Hidayah berkata, haiwan itu ditemui pada Januari lalu di sebuah kedai makan, berhampiran rumahnya.


Katanya, Oyen ditemui di bawah sinki dalam keadaan lumpuh dipercayai akibat dipukul.

"Pada hari berkenaan, saya terdengar suara kucing mengiau dengan kuat dan cuba mencari daripada mana datangnya bunyi itu sebelum menemui Oyen.

"Oyen tidak dapat bergerak ketika itu dan alat sulitnya juga dalam keadaan berulat.

"Melihat keadaannya, saya jadi simpati dan terus membawa pulang ke rumah bagi memberinya minum air sebelum menghantarnya ke klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Meskipun peluang untuk Oyen hidup tipis ketika itu, Siti Nur Hidayah tidak berputus asa sebaliknya tekad memelihara haiwan berkenaan.

"Ketika itu, doktor beritahu saya Oyen mengalami luka dalaman dan kakinya tidak boleh dibedah kerana sarafnya sudah mati.

"Jadi, saya diberi dua pilihan sama ada untuk memelihara Oyen atau ia dimatikan dengan suntikan kerana menurut doktor, tempoh hayatnya (Oyen), kemungkinan tidak lama memandangkan air kencingnya juga berdarah.

"Namun, saya lihat Oyen ada peluang untuk hidup dan ambil keputusan membawanya pulang serta memeliharanya.

"Alhamdulillah, Oyen kini sihat dan sudah boleh mengengsot dengan tangan untuk bergerak, makan serta minum seperti biasa," katanya.

Menurut Siti Nur Hidayah, dia juga ada menjaga beberapa kucing lain yang buta dan mengalami gangguan saraf, Parkinson.

"Namun, hanya Oyen yang dipakaikan lampin pakai buang dan bedak talkum.

"Ia sebenarnya dilakukan kerana saya tidak mahu kulitnya melecet selain mengurangkan bau badannya dan hasilnya, keadaan Oyen semakin baik. Tak sangka pula kisah itu jadi tular," katanya.

Sekalipun menghidap barah payudara, Siti Nur Hidayah berkata, dia tidak akan sesekali menjadikan penyakitnya itu sebagai alasan untuk mengabaikan Oyen dan kucing peliharaannya yang lain.

Malah, Siti Nur Hidayah bersyukur kerana suaminya, Muhamad Bashir Ali, 27, memahami dan membantu menjaga kesemua kucing peliharaannya itu ketika dimasukkan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama seminggu tahun lalu untuk menjalani rawatan kemoterapi .

"Suami faham dengan hobi saya ini kerana sudah memelihara kucing sebelum berumah tangga lagi.

"Malah, dia (suami) yang banyak membantu menguruskan keperluan kucing peliharaan.

"Sementara belum dikurniakan cahaya mata, kucing peliharaan ini yang menjadi penyeri hidup kami di rumah.

"Saya tidak akan sesekali membuang kucing itu disebabkan penyakit dihidapi kerana sudah memelihara sebelum disahkan menghidap barah payudara lagi," katanya yang sudah menjalani enam sesi rawatan kemoterapi dan 15 radioterapi.

Sumber: Harian Metro