Istilah “meme” digunakan pertama kali oleh ahli biologi evolusi dari England, Richard Dawkins, dan telah direkodkan di dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1976, The Selfish Gene.
Dawkins menyebut meme sebagai “Mimeme”. Istilah ini berasal dari Yunani yang membawa maksud “ditiru” atau tiruan dan kemudiannya dipendekkan menjadi “meme”. Difahamkan, Dawkins mencipta istilah itu kerana dia mahu menggambarkan bagaimana sesuatu idea itu disebarkan dari generasi ke generasi.
Xavier adalah antara meme yang paling popular di media sosial. Hampir seluruh pengguna media sosial di Malaysia mahupun luar negara pasti pernah menggunakan meme Xavier untuk menambah perisa jenaka mereka.
Lelaki dari India dengan bermisai tebal ini boleh dijumpai di mana-mana media sosial. Dari Facebook sehinggalah Twitter, dari Reddit sehinggalah 9Gag. Meme Xavier sering mendapat tempat oleh penggunakan media sosial.
Namun, persoalannya sekarang, siapakah lelaki dari India dengan misai yang tebal ini? Dan adakah benar namanya adalah Xavier?
Bermula di Twitter, kini popular di Facebook
Idea lucu Xavier sebenarnya bermula di Twitter, lalu ia mula popular di Facebook sehinggalah lahirnya halaman yang diberi nama sebagai Xavier. Ia adalah satu jenaka lucu yang berisi komen sarkastik terhadap ciapan pengguna di media sosial.
Difahamkan, nama halaman Xavier yang popular di Facebook itu sebenarnya adalah tiruan salah satu kandungan asal di platform Twitter dengan seorang pelawak bernama Pakalu Papito.
Berdasarkan laman web Know Your Meme, Pakalu Papito adalah akaun komedi di Twitter yang telah aktif sejak 2013. Muat naik pertamanya bertarikh 12 Julai 2013 dengan ciapan “hello Twitter saya single,” di dalam bahasa Inggeris.
Pakalu Papito, seperti kebanyakan meme yang lain, ia adalah watak rekaan semata-mata. Melalui jenaka dan humor, Pakalu Papito berjaya mendapat populariti pada tahun 2015, menurut Know Your Meme.Sebagai contoh, ciapan pertamanya berjaya memperoleh lebih daripada 17,000 ciapan balas dan 6,000 tanda suka pada tahun tersebut, sementara akaunnya sendiri mempunyai 739,000 pengikut.
Sebenarnya, individu yang membina akaun Pakalu Papito juga membuat akaun di Facebook pada bulan September 2013. Namun, di Facebook, dia biasanya hanya mengitar semula lawaknya di laman Twitter. Pada tahun 2015, halaman Pakalu Papito di Facebook berjaya mendapat 478 ribu pengikut.
Namun, populariti Pakalu Papito hanya bersifat sementara sahaja. Pada tahun 2018, akaun Twitternya digantung dan halaman Facebooknya dipadam. Tidak jelas mengapa kedua-dua akaun itu hilang.
Setelah @pakalupapito disekat, akaun serupa bernama @pakalupapitow berjaya mendapat mendapat tempat. Ia menggunakan formula jenaka yang sama. Bagaimanapun, tidak pasti sama ada individu yang berada di belakang kedua-dua akaun tersebut adalah orang yang sama atau pun tidak.