Friday

Ada Apa Pada Pokok Bebuas? Ketahui Cara Penyediaan Air Rebusan Bagi Rawatan Tradisional

Bebuas, beruas, buas-buas, ambong-ambong laut, pecah piring, singkil, atau limau pantai atau nama saintifiknya Premna Spp terdapat dijual di pasar tani sebagai sayur ulam. Pokok bebuas ini mempunyai khasiat tersendiri kepada kesihatan. Air rebusan dan pucuk herba bebuas dipercayai oleh masyarakat Melayu bagi menyembuhkan masalah pening kepala. Pucuk mentahnya dicelur atau direbus dan dimakan bersama sambal belacan, budu, cencaluk, atau pencecah yang lain. Rasanya manis-manis pedas dan sedikit pahit serta rangup dan berbau.

Pokok herba merujuk kepada tumbuhan renek berbatang lembut. Pada kebiasaannya pokok herba mempunyai batang yang lembut dan berair. Pokok-pokok herba telah lama digunakan oleh orang-orang Melayu dan Cina sebagai bahan ubat atau penguat tenaga.

Bebuas ialah sejenis tumbuhan renek yang asalnya tumbuhan liar tetapi kini banyak di tanam di halaman rumah. Pucuknya biasa dijadikan ulam oleh masyarakat melayu kerana rasanya yang agak pahit dapat menambah selera makan serta teksturnya yang rangup dan menyelerakan. Selain daripada di makan sebagai ulam bersama sambal belacan, pucuk bebuas juga boleh dijadikan kerabu. Bebuas merupakan tumbuhan yang senang membiak melalui kaedah keratan batang. Ia tidak memerlukan penjagaan yang teliti dan mudah hidup subur jika mendapat cahaya matahari dan air yang cukup.

Sumber: Wikiwand

Ciri Botani
Ia ialah pokok kecil boleh mencecah setinggi 7 m. Batang banyak cabang, dan mudah bertunas sekiranya dicantas. Daun tunggal, sederhana besar, susunan bertentangan, berbentuk bujur dengan hujung menirus, pangkal daun membulat, tepi daun bergerigi, permukaan berkilat, tangkai daun panjang, warna daun hijau kekuningan ketika muda dan bertukar hijau tua setelah matang dan berbau unik. Bunga majmuk, kecil berwarna putih, terdapat dalam jambak bunga yang keluar dari celah ketiak daun, berbau kuat. Buah kecil, bulat, bergugus, hijau ketika muda bertukar warna ungu kehitaman setelah masak, dan terdapat satu biji bulat di dalamnya.

Cara Penyediaan Air Rebusan Pokok Bebuas Bagi Rawatan Kecacingan dan Menambah Susu
Pokok bebuas terkenal dengan khasiatnya yang dapat membuang angin dalam badan dengan cepat jika dimakan mentah sebagai ulam. Angin dalam badan akan menyebabkan penyakit seperti sakit pinggang, sakit belakang, lenguh-lenguh sendi dan kembung perut. Secara tidak langsung amalan menjadikan pucuk bebuas sebagai ulam dapat membantu mengelakkan masalah tersebut. 


Sumber: Wikiwand

Air rebusan pucuk bebuas pula boleh menolong untuk mengatasi masalah kecacingan dan menambah air susu ibu. Untuk masalah kecacingan beberapa helai pucuk bebuas direbus hingga mendidih bersama segelas air, air ini diberikan kepada pesakit sekali sehari. Untuk menambahkan susu ibu, cara yang sama digunakan, 

cuma pastikan air rebusan ini diminum pada peringkat awal proses penyusuan dan bukannya setelah susu hampir kering. Air rebusannya juga dapat menghilangkan bau hanyir ikan terutamanya ikan air tawar.Ia juga di katakan dapat mencegah penyakit yang berjangkit melalui udara seperti SARS tapi masih tidak dapat dibuktikan sejauh mana kebenarannya

Sumber: Wikiwand

Semoga perkongsian ini memberi manfaat pada rakan-rakan

Sumber rujukan: Jabatan Perhutanan, Wikiwand dan Ubat Rebusan