Friday

Kenali Pokok Buah Cermai - Yang Seakan-Akan Pokok Belimbing Buluh Dan Dijadikan Jeruk

Pokok cermai kurang berdahan seakan-akan pokok belimbing buluh. Anak pokok cermai  tumbuh sendiri melalui biji benih di bawah pokok induk dan diubah ke tempat lain yang sesuai. Pokok cermai mula berbuah lebat apabila berumur empat tahun dan ia tergolong dalam jenis  buah-buahan tidak bermusim.

Sumber: Warisan Petani

Buah Cermai
Buah cermai biasanya dimakan mentah bersama dengan garam dan rasanya sangatlah masam. Buah cermai sesuai dibuat jeruk buah campuran  atau halwa untuk mengelakkan rasa masamnya. Ia juga boleh dijadikan jus minuman.  Buah mudanya  boleh dijadikan ramuan sambal belacan. Pucuk daun cermai boleh dibuat ulam tetapi rasanya agak kemasaman dan kelat.

Sumber: Warisan Petani

Dikatakan Mengandungi Anti Oksidan
Buah cermai dikatakan mengandungi antioksidan yang boleh mencegah diabetis dan kadar kolesterol dalam darah. Ia juga mengandungi bahan antikanser, bahan serat dan kaya dengan vitamin C. 

Sumber: Warisan Petani

Biji buah cermai digunakan untuk mengatasi sembelit dan penyakit asma. Manakala daun pokok cermai digunakan untuk mengubati penyakit kulit, darah tinggi, melangsingkan tubuh, melawaskan pembuangan air besar dan mengurangkan batuk.

Sumber: Warisan Petani

Pokok cermai tidaklah begitu besar dan sesuai ditanam berdekatan rumah. Tanamlah pokok cermai sebagai tanaman hiasan dan untuk mendapatkan manfaat herbanya.

Sumber rujukan: Jabatan Perhutanan, Wikiwand dan Warisan Petani blogspot

Wednesday

Kenali Pokok Tenggek Burung - Dikenali Juga Sebagai Pokok Cabang Tiga atau Tapak Itik Yang Banyak Khasiat

Pokok Tenggek Burung (dikenali juga sebagai pokok cabang tiga atau tapak itik) merupakan salah satu tanaman yang terdapat di kebun "Warisan Petani". Pokok tenggek burung pada asalnya adalah pokok liar yang tumbuh di kebun getah tua. Apabila kebanyakan pokok getah mati akibat serangan cendawan akar, pokok tenggek burung mengambil alih memenuhi kawasan tersebut.

Senang Membiak
Pokok ini hanya perlu sekali sekala dibaja untuk mengekalkan kesuburannya. Ia senang membiak melalui biji benih dan ada juga yang tumbuh melalui akarnya. Selain mengambil pucuknya sebagai ulaman, pokok ini perlu dipangkas supaya tidak terlalu tinggi. Jika dibiarkan Pokok Tenggek Burung boleh menjadi besar dan tinggi dan menyukarkan kita untuk menuai pucuknya. Pokok yang selalu dituai atau dipangkas lebih kerap mengeluarkan pucuk muda.

Dijadikan Ulaman Bersama Sambal Belacan
Pucuk Pokok Tenggek Burung biasanya dijadikan ulaman bersama sambal belacan dan dimakan dengan nasi. Ia juga boleh dijadikan ramuan nasi ulam dan nasi kerabu. Rasanya lemak dan sedikit kelat.



Sumber: Warisan Petani

Sumber: Warisan Petani

Ulaman Pucuk Tenggek Burung
Ulaman Pucuk Tenggek Burung dikatakan mengandungi pelbagai khasiat kesihatan. Ia dapat mencegah serangan darah tinggi serta melancarkan peredaran darah. Ia juga dapat menyegarkan badan dan menghilangkan rasa lenguh-lenguh selepas penat bekerja. 

Ulaman Pucuk Tenggek Burung juga mempunyai nilai perubatan untuk wanita lepas bersalin dan kaum lelaki juga.

Makanlah ulaman Pucuk Tenggek Burung kerana ianya tidak dicemari oleh racun serangga dan hidup secara organik.

Sumber: Warisan Petani

Sumber: Warisan Petani

Sumber rujukan: Jabatan Perhutanan, Wikiwand dan Warisan Petani blogspot