Wednesday

Tak Percaya! Suami Isteri Ini Simpan 1.4 Juta Dalam Peti Besi Di Rumah

Polis menahan empat individu termasuk suami isteri yang dipercayai terbabit melakukan pelaburan haram membabitkan mata wang krypto serta judi dalam talian dan merampas wang tunai lebih RM1.4 juta, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya melakukan serbuan di sebuah rumah teres di Ara Damansara, di sini, jam 1.30 tengah hari selepas menerima maklumat daripada orang awam yang membawa kepada penahanan suami isteri masing-masing berusia 27 dan 31 tahun.

"Ketika serbuan dilakukan, suami isteri itu memadam beberapa komputer riba, namun pemeriksaan dilakukan menemui dua komputer riba yang tidak sempat ditutup pasangan berkenaan.

"Malah, suami yang juga warga asing serta isterinya warga tempatan tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis ketika pemeriksaan dilakukan.

"Pemeriksaan dilakukan terhadap dua komputer riba yang masih berfungsi itu mendapati terdapat aktiviti pelaburan mata wang krypto," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.


Nik Ezanee berkata, siasatan lanjut di stor rumah teres berkenaan menemui sebuah peti besi, namun suami isteri berkenaan tidak memberi kerjasama untuk membukanya.

"Kami terpaksa menggunakan khidmat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling untuk membuka peti besi berkenaan.

"Pemeriksaan dilakukan menemui wang tunai lebih RM1.4 juta di dalam peti besi berkenaan. Kami turut merampas tujuh komputer riba, serangkai kunci dan kad akses ke sebuah unit kondominium di Sunway," katanya.

Katanya, susulan penahanan pasangan suami isteri itu, pihaknya menyerbu satu lagi unit di kondominium di Sunway jam 7.30 malam, hari sama.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing masing-masing berusia 30 dan 31 tahun yang dipercayai bekerja sebagai penyelia laman sesawang pelaburan serta mereka aplikasi judi dalam talian dengan bayaran gaji RM9,000 sebulan.

"Kami turut merampas sembilan lagi komputer riba di unit kondominium berkenaan yang disewa oleh dalang sindiket terbabit iaitu lelaki yang ditahan dalam serbuan pertama," katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif melakukan kegiatan pelaburan haram mata wang krypto serta judi dalam talian sejak tiga bulan lalu dengan mempromosikan aktiviti berkenaan di media sosial kepada pelanggan mereka di China.

"Kami tidak menolak kemungkinan sindiket ini terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram. Semua suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kami juga sedang mengesan saki baki sindiket berkenaan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya. 

Sumber: Harian Metro

Tuesday

Apa Dah Jadi Pada Streamer Ini? Rayu Minta Sumbangan RM 300 Daripada Penonton Dan Sudah Tercapai

Permainan dalam talian (online games) kini bukan lagi dianggap sebagai aktiviti mengisi masa lapang dan mencari keseronokan semata-mata tetapi ada juga yang menjadikan kemahiran dan minat mereka ini sebagai jalan untuk mencari sumber pendapatan.

Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita sudah pun mengenali beberapa individu atau kumpulan yang memang menjadikan aktiviti ini sebagai karier mereka. Jika di luar negara kita sering mendengar nama Ninja manakala dalam negara pula kita sering mendengar nama Soloz.

Bagaimanapun, seperti mana-mana karier yang lain, bermain online games secara sepenuh masa atau sebagai sumber pendapatan ada ketikanya mempunyai cabaran yang tersendiri seperti yang dilaporkan berlaku kepada salah seorang gamers dan streamers dari Malaysia baru-baru ini iatu Kidal Dota.

Menerusi perkongsian yang dibuat di laman sesawang HOT FM , beliau difahamkan meminta sumbangan daripada penonton untuk meneruskan kehidupan. Perkara itu baru-baru ini juga turut mencuri tumpuan apabila ramai yang berkongsikan tangkap layar permintaannya.


Buat anda yang masih tidak biasa dengan online games, pemain-pemain atau gamers ini bukan sahaja mendapatkan pendapatan melalui hadiah kemenangan namun mereka turut mendapat hadiah atau sumbangan ketika melakukan penstriman permainan mereka di platform media sosial atau pun platform lain seperti Twitch.

Walaupun tidak mengetahui kisah di sebalik permintaannya namun ramai netizen yang memberikan reaksi negatif mengenai perkara itu atau dalam kata lainnya mengecam tindakan beliau yang meminta bantuan daripada peminat.

Malah ada yang berpendapat sekiranya menyedari permainan itu tidak dapat membawa hasil pendapatan maka adalah lebih elok untuk mencari pekerjaan lain.

Kecaman bawa tuah

Walaupun teruk dihentam oleh netizen, namun apa yang berlaku selepas kisahnya mendapat perhatian ramai itu sedikit mengujakan.

Hal ini kerana selepas beberapa hari, beliau difahamkan telah mendapatkan sumbangan yang mencukupi daripada penonton dan tidak ketinggalan daripada online gamers terkenal Malaysia iaitu Soloz.

Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri melalui satu hantaran yang dibuat beliau di akaun Facebook Kidal – Dota ketika mengucapkan terima kasih kepada penonton yang memberikan sumbangan dan bantuan kepadanya.

Walaupun jumlah sumbangan yang dikongsikan beliau di hantaran berkenaan hanya bermula serendah RM0.01 sehingga RM100 sahaja, namun beliau difahamkan telah berjaya menyelesaikan bayaran sewa dan meneruskan kehidupan untuk bulan ini.

Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri melalui satu kapsyen sebelum memulakan live streaming beliau baru-baru ini yang mencatatkan sehingga lebih 38,000 tontonan di Facebook. 

Sumber: The Vocket