Wednesday

Kenali Pokok Tenggek Burung - Dikenali Juga Sebagai Pokok Cabang Tiga atau Tapak Itik Yang Banyak Khasiat

Pokok Tenggek Burung (dikenali juga sebagai pokok cabang tiga atau tapak itik) merupakan salah satu tanaman yang terdapat di kebun "Warisan Petani". Pokok tenggek burung pada asalnya adalah pokok liar yang tumbuh di kebun getah tua. Apabila kebanyakan pokok getah mati akibat serangan cendawan akar, pokok tenggek burung mengambil alih memenuhi kawasan tersebut.

Senang Membiak
Pokok ini hanya perlu sekali sekala dibaja untuk mengekalkan kesuburannya. Ia senang membiak melalui biji benih dan ada juga yang tumbuh melalui akarnya. Selain mengambil pucuknya sebagai ulaman, pokok ini perlu dipangkas supaya tidak terlalu tinggi. Jika dibiarkan Pokok Tenggek Burung boleh menjadi besar dan tinggi dan menyukarkan kita untuk menuai pucuknya. Pokok yang selalu dituai atau dipangkas lebih kerap mengeluarkan pucuk muda.

Dijadikan Ulaman Bersama Sambal Belacan
Pucuk Pokok Tenggek Burung biasanya dijadikan ulaman bersama sambal belacan dan dimakan dengan nasi. Ia juga boleh dijadikan ramuan nasi ulam dan nasi kerabu. Rasanya lemak dan sedikit kelat.



Sumber: Warisan Petani

Sumber: Warisan Petani

Ulaman Pucuk Tenggek Burung
Ulaman Pucuk Tenggek Burung dikatakan mengandungi pelbagai khasiat kesihatan. Ia dapat mencegah serangan darah tinggi serta melancarkan peredaran darah. Ia juga dapat menyegarkan badan dan menghilangkan rasa lenguh-lenguh selepas penat bekerja. 

Ulaman Pucuk Tenggek Burung juga mempunyai nilai perubatan untuk wanita lepas bersalin dan kaum lelaki juga.

Makanlah ulaman Pucuk Tenggek Burung kerana ianya tidak dicemari oleh racun serangga dan hidup secara organik.

Sumber: Warisan Petani

Sumber: Warisan Petani

Sumber rujukan: Jabatan Perhutanan, Wikiwand dan Warisan Petani blogspot

Kenali Pokok Belinjau - Pokok Hidup Di Zaman Purba Yang Dijadikan Kerepek

Pokok Belinjau, juga dikenali sebagai Pokok Belingar, ialah salah satu spesies Gnetum yang berasal dari Asia Tenggara dan pulau-pulau Lautan Pasifik barat, iaitu dari Assam selatan dan timur merentasi Malaysia dan Indonesia sehingga ke Filipina dan Fiji. Nama saintifiknya Gnetum gnemon.

Sumber: Warisan Petani

Hidup di Zaman Purba
Berlainan dengan kebanyakan spesies Gnetum yang lain yang merupakan pokok akar, Pokok Belinjau ialah pokok yang kecil hingga sederhana sehingga 15-20 meter tingginya.

Daunnya malar hijau, bertentangan, dengan 8-20 sentimeter panjangnya dan 3-10 sentimeter lebarnya. Warnanya kuning gangsa ketika muda, tetapi menjadi hijau tua yang kilat ketika matang. Pokok Belinjau tidak menghasilkan sebarang bunga dan buah sejati kerana pokok ini bukannya tumbuhan angiosperma. Strobilusnya yang seakan-akan buah tidak melebihi kulit serta biji yang besar bak kekeras, dengan panjangnya 2-4 sentimeter.

Pokok belinjau tergolong dalam kumpulan gimnosperma, iaitu pokok yang hidup di zaman purba.

Sumber: Warisan Petani

Dijadikan Kerepek Binjai
Pokok Belinjau jarang ditanam secara intensif. Kayunya dapat digunakan sebagai bahan papan. Daun yang muda, "bunga" (baik jantan mahupun betina) dan bijinya (baik yang muda mahupun yang sudah masak) boleh digunakan sebagai sayur (misalnya sebagai sayur ulam). Biji belinjau boleh dikisar menjadi tepung dan digoreng menjadi emping atau ditumbuk dan dijadikan kerepek binjai.

Sumber: Warisan Petani

Sebagai sumber makanan, biji belinjau mengandungi kadar urea yang agak tinggi dan oleh itu, tidak sesuai dimakan pada jumlah yang banyak terutama bagi mereka yang menghadapi masalah gout.

Sumber: Warisan Petani

Khasiat
Pucuk dan buah muda belinjau mengandungi khasiat makanan yang agak tinggi, terutama vitamin A dan vitamin C. Dalam setiap 100 gram (g), bahagian yang boleh dimakan mengandungi: Air 75.1 (miligram) mg, protein 6.6 g, lemak 1.2 g, karbohidrat 9.1 g, serat 6.8 g, kalsium 151 mg, fosforus 224 mg, ferum 2.5 mg, vitamin A 10889 I.U. Niasin 1.2 mg dan vitamin C 121 mg.

Pucuknya Enak Dimasak Lemak
Pokok belinjau ditanam untuk mendapatkan pucuk daun mudanya yang boleh dijadikan sayuran. Ia merupakan sayuran kampung yang bebas dari bahan kimia kerana hidup secara semulajadi. Pucuknya enak dimasak lemak atau masak air dicampur dengan tempe.

Bahan Belinjau Boleh Dimakan
Buah Belinjau juga boleh dimakan. Buah yang muda boleh dijadikan sayuran dimasak bersama pucuknya atau dimasak kari bersama daging. Buah yang muda berwarna hijau dan akan bertukar menjadi merah apabila matang. Buah yang matang boleh dijadikan kerepek atau emping. Ia juga enak dimakan dengan merebusnya sahaja seperti merebus buah kacang tanah. Buah belinjau mempunyai satu lapisan kulit yang keras, jadi perlu direbus agak lama dengan api yang kecil sahaja. Isinya agak keras serta kenyal dan tidak boleh empuk. Rasanya sangat enak, lemak dan sedikit pahit.

Sumber: Warisan Petani

Penanaman Pokok Belinjau
Penanaman pokok belinjau adalah dengan menggunakan anak benih yang boleh disemai melalui buah yang matang. Peratus percambahannya sangat rendah dan pertumbuhan anak benih sangat lambat. Anak benih juga boleh tumbuh dari akarnya yang menjalar di permukaan tanah.

Terdapat pokok belinjau jantan dan pokok belinjau betina. Kedua-duanya akan mengeluarkan putik apabila matang tetapi hanya putik pokok belinjau betina sahaja yang menjadi buah manakala putik pokok belinjau jantan akan gugur semuanya.


Sumber: Warisan Petani

Pokok belinjau adalah pokok berkayu yang mempunyai batang utama dan banyak dahan-dahan kecil.  Sekiranya tidak dipangkas ia boleh menjadi pokok yang besar dan tinggi. Pokok belinjau tidak sesuai dipanjat kerana mempunyai dahan-dahan yang rapuh dan mudah sekah.


Sumber rujukan: Jabatan Perhutanan, Wikiwand dan Warisan Petani blogspot